:: Berita

Golongan Wanita Profesional Diseru Sertai ATM Bantu Pertahan Negara

MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Askar Wataniah mengalu-alukan penglibatan golongan belia dan wanita profesional dalam misi mempertahankan negara.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata ATM menyediakan platform bagi golongan itu bergiat aktif termasuk menawarkan bidang kerjaya baru yang mencabar,

"Jika wanita di luar sana merasakan mereka masih mencari-cari sesuatu yang 'extra' dalam angkatan tentera amnya dan juga tentera darat khasnya, terdapat pelbagai bentuk latihan dan juga aktiviti yang boleh meletakkan mereka di satu tahap yang tinggi.

"Ini kerana ATM menyediakan fasiliti terbaik dan berpengalaman dalam melatih dan melahirkan golongan wanita yang mampu mempertahankan negara," katanya kepada pemberita di Markas Tiga Divisyen, Kem Terendak, di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penganugerahan Beret Maroon Kehormat dan Sayap Penerjunan Kanan Kehormat kepada Komander Rejimen 513 Askar Wataniah, Brig Jen Datuk Seri Tunku Puteri Intan Syafinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sementara itu, Tunku Puteri Intan Syafinaz berkata penganugerahan tersebut merupakan satu pengiktirafan penglibatan kaum wanita dalam ATM.

"Saya berasa amat bangga dan berbesar hati dengan penghormatan yang diberikan oleh ATM dan ia akan manjadi pembakar semangat supaya terus berkhidmat dalam rejimen 513 Askar Wataniah dan juga kepada ATM.

"Saya berharap penglibatan saya dalam ATM akan menjadi contoh atau dorongan kepada kaum wanita yang ingin berkecimpung dalam perjuangan untuk mempertahan dan membela negara selain dapat menjadikan ia sebagai satu karier yang membina," katanya.

-- BERNAMA