:: Berita

Kod Etika Dilancar Bagi Martabatkan Kerjaya Kaunselor

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Lembaga Kaunselor Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Isnin melancarkan Kod Etika Kaunselor dalam usaha memartabatkan kaunselor sebagai satu kerjaya yang bertauliah dan dihormati.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata penghasilan kod etika itu bersesuaian dengan garis piawaian yang telah ditetapkan dalam Akta Kaunselor 1998 sekali gus membantu kaunselor untuk bertindak secara profesional.

"Sebagai seorang kaunselor profesional, mereka bukan sahaja perlu menguasai ilmu dan kemahiran kaunseling malah juga amat perlu dipandu dan dibimbing oleh suatu kod etika yang ditetapkan dalam profesion tersebut.

"Bukan semua orang boleh buat kaunseling. Oleh sebab itu kita bersungguh-sungguh mahu memastikan kerjaya ini setanding dengan kerjaya peguam, doktor dan akauntan yang mempunyai kod etika masing-masing," katanya selepas majlis pelancaran kod etika itu di sini, pada Isnin.

Turut hadir Presiden Lembaga Kaunselor Datuk Dr Ismail Alias dan Pendaftar Kaunselor KPWKM Juhari Jani.

Shahrizat berkata kod etika itu mengandungi lapan bahagian utama yang perlu diamalkan kaunselor bertauliah termasuk perhubungan menolong, tanggungjawab profesional, hubungan dengan profesional-profesional lain dan penyelesaian isu-isu etika.

Katanya kaunselor berperanan memastikan jaringan keselamatan sesebuah institusi keluarga terus kukuh memandangkan hubungan kekeluargaan kini dilihat kian rapuh.

"Dulu ada ibu bapa, datuk dan nenek yang boleh jalankan tugas kaunseling sekiranya berlaku kecelaruan dalam sesebuah keluarga namun sekarang peranan itu sudah terhakis sebab itu kaunselor perlu ambil alih," katanya.

Shahrizat berkata sehingga kini seramai 2,595 kaunselor bertauliah telah berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia namun dianggarkan lebih 10,000 kaunselor berkelayakan gagal berbuat demikian.

"Kita minta semua kaunselor yang berkelayakan tampil mendaftar supaya dapat menjalankan kaunseling secara profesional dan terpiawai," katanya.

Sehubungan itu, katanya, jabatan kaunselor wajar diwujudkan bagi memastikan kelangsungan profesion kaunselor di negara ini.

"Kita akan berjumpa dengan pihak berwajib mengenai perkara ini agar kaunselor yang ada sekarang mempunyai satu badan khusus yang dapat mengurus tadbir kerjaya mereka dengan lebih teratur," katanya.

-- BERNAMA