:: Berita

Fahaman Pasca-Modenisme Punca Banyak Gejala Sosial

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Gejala sosial yang melanda kehidupan masyarakat hari ini termasuk golongan wanita adalah impak secara langsung kejutan budaya serta perubahan nilai dan pemikiran.

Fenomena ini berkait rapat dengan apa yang disebut sebagai era pasca-modenisme iaitu lanjutan kepada fahaman sekularisme Barat moden, demikian pandangan Mahamad Naser Disa, Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Syariah), Jabatan Peguam Negara.

"Fahaman pasca-modenisme ini mementingkan manusia mempunyai kebebasan diri untuk menjalani kehidupan tanpa sebarang ikatan kepada sebarang bentuk tradisi termasuk Tuhan dan agama," tambahnya.

Beliau mengutarakan pandangan ini di Seminar "Wanita dan cabaran Aliran Pasca-Modenisme: Penilaian dari Perspektif Islam" anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini baru-baru ini.

Kertas kerja yang dibentangkan beliau bertajuk "Wanita, Gejala Sosial dan Takat Keberkesanan Undang-Undang Moral: Perspektif Undang-Undang."

SECARA HALUS

Hujah Mahamad Naser, pada era pasca-modenisme, fahaman dan ideologi Barat dilapor tersebar luar secara pantas sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan proses globalisasi.

Fahaman itu, katanya, meresap masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam dan penularannya berlaku secara halus sama ada secara disedari atau tidak.

"Ia diolah secara rasional sehinggakan jika ia tidak dibanteras dengan berkesan boleh menjejaskan akidah umat Islam.

"Penerimaan prinsip Hak Asasi Manusia sebagai sebahagian cara hidup di peringkat global tanpa mengira latar belakang ras, etnik, agama, warna kulit dan jantina memburukkan lagi keadaan ini.

"Dalam konteks ini, golongan wanita juga tidak terlepas daripada menerima corak pemikiran sebegini sehingga ramai yang menjadi mangsa eksploitasi agenda Barat/Yahudi dan seterusnya terjebak ke dalam kancah gejala sosial," jelasnya.

BUDAYA HEDONISME

Mahamad Naser turut menegaskan bahawa dalam era pembebasan dari kawalan agama, wanita semakin terdedah kepada budaya hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur secara keterlaluan.

Keadaan hidup yang sedemikian menyebabkan ada wanita yang terjebak mengamalkan seks bebas atau zina, hamil tanpa nikah, buang bayi, ketagihan arak, dadah, rokok, judi serta menjadi mangsa rogol.

Di samping itu, katanya, terdapat juga amalan mengambil kesempatan melalui kegiatan perniagaan berasaskan seks, penipuan dan pemerdagangan orang serta memanipulasi wanita yang terdesak dalam kehidupan materialistik bagi mendapatkan keuntungan.

Menurut beliau, pusat hiburan dan maksiat yang menjadikan wanita sebagai alat tarikan pelanggan seperti GRO, pelayan, teman sosial malah sebagai pelacur, semakin bertambah.

"Wanita dipertonton dengan cara dan gaya yang cukup mengghairah dan memalukan tanpa mengira tempat atau saluran.

"Inilah realiti imej dan watak wanita dalam arus kemodenan yang menuntut kepada perkara yang boleh dikatakan sudah hilang ketamadunannya," katanya.

HAK FEMINISME

Mahamad Naser turut menyentuh satu lagi impak daripada kemunculan pasca-modenisme iaitu kemunculan gerakan yang memperjuang hak feminisme serta kebebasan dan kesamarataan gender.

Gerakan itu memperjuang soal keadilan sosial, kesaksamaan, hak kemanusiaan, liberalisasi kaum wanita dan pelbagai pendekatan yang berpusat dan menyebelahi kaum wanita.

Ia didukung oleh wanita elit dan menengah atasan yang berpendidikan tinggi.

"Dalam hal ini, golongan femenisme tempatan yang jahil tentang agama dan terpengaruh oleh fahaman Barat sering mencemuh agama dan gagal memahami pengajaran agama Islam dalam membawa perubahan nasib wanita.

"Golongan ini mengimpikan untuk menjadi jaguh bagi meningkatkan taraf kedudukan wanita tanpa menyedari bahawa fahaman mereka membuka ruang yang lebih luas kepada eksploitasi wanita dalam pelbagai bidang dan seterusnya menyebabkan berlakunya gejala sosial dalam masyarakat hasil daripada kebebasan tanpa sempadan yang dinikmati tanpa batasan agama, budaya dan moral.

"Mereka sememangnya terpengaruh dengan pemikiran pasca-modenisme apabila beranggapan kawalan agama hanya mengekalkan wanita dalam dunia kolot, sedangkan dalam masa yang sama mereka menyaksikan perkembangan gejala sosial dalam kalangan wanita sudah tidak terkawal lagi," tambahnya.

SEMAKIN MERUNCING

Kebimbangan gejala sosial yang semakin meruncing melanda masyarakat negara ini khususnya golongan wanita ada kewajarannya jika mengambil kira beberapa fakta yang dikongsi Mahamad Naser.

Perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)2011 mencatatkan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf yang didaftarkan antara tahun 2006 hingga 2010 seramai 234,647 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 80,979 atau 34.5 peratus ialah bayi yang ibu kandungnya beragama Islam.

Menyorot kes buang bayi, bagi tahun 2005 hingga April 2010, perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 280 kes.

"Setiap kali berakhirnya sambutan yang membabitkan kemeriahan pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes buang bayi dan mengandung anak luar nikah.

"Tempoh ini ibarat musim mengawan kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan dan seluruh negara akan mencatat kes buang bayi sama ada masih hidup atau janin yang dibuang dalam semak, belakang rumah, pusat pembuangan sampah, bawah pokok, di dalam longkan dan juga tandas," kata Mahamad Naser.

Beliau turut memetik satu lagi perangkaan PDRM berhubung kes rogol di mana bagi tahun 2008 hingga April 2010, sebanyak 8,227 kes dilapor.

Kes mencabul kehormatan juga menunjukkan statistik yang tinggi iaitu sebanyak 4,894 kes di seluruh negara bagi 2008 hingga April 2010.

Dalam mengemukakan senario yang membimbangkan ini, Mahamad Desa berkata peningkatan keterlibatan wanita Melayu dalam gejala sosial amat membimbangkan.

"Ia berpunca daripada budaya hedonisme yang dilancarkan secara besar-besaran oleh kelompok kapitalis atas nama pembangunan dan kemajuan material seperti lakonan, nyanyian dan tarian yang berunsur seks dan kerendahan akhlak, peragaan, ratu cantik, pengiklanan komersil, gadis grand prix, yang jelas mencemar nama baik agama Islam," katanya.

EKSPLOITASI WANITA

Mahamad Desa turut membincang fenomena songsang yang berlaku dalam masyarakat Islam di era pasca modenisme di mana wanita dalam banyak keadaan menjadi pencari nafkah.

Dalam Islam, katanya, wanita tidak dipertanggungjawabkan menanggung nafkah sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk keluarganya.

Sebaliknya tanggungjawab itu sentiasa berada pada pihak lelaki sama ada sebagai suami, bapa atau saudara.

Akibat daripada fenomena songsang ini, jelas Mahamad Desa, kaum wanita mudah dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Keadaan itu, katanya, berleluasa dan berkembang pesat semasa negara mengalami perubahan ekonomi dari pertanian kepada perindustrian.

"Ramai anak gadis terpaksa berhijrah ke bandar bagi mendapatkan pekerjaan di kilang-kilang untuk membantu ibu bapa atau menyara kehidupan keluarga.

"Tidak kurang juga wanita yang berjaya dalam pendidikan dan seterusnya menabur bakti membantu suami atau ibu bapa. Malah ramai juga para ibu tunggal yang terpaksa membanting tulang empat kerat mencari sesuap nasi untuk anak-anak atau ibu bapa yang sudah tua.

"Dalam suasana sebegini tidak dapat dinafikan ramai juga yang terjerumus dalam kancah noda dan dosa bagi mengecap kemewahan dan kesenangan hidup," tegas Mahamad Desa.

UNDANG-UNDANG MORAL

Kemelut gejala sosial turut dikaitkan dengan penguatkuasaan undang-undang yang lemah.

Dalam masa yang sama, usaha untuk melaksanakan undang-undang moral sering kali mendapat bantaran pihak tertentu termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Mahamad Desa, golongan berkenaan berpendapat tindakan kerajaan mahu mengawasi akhlak boleh mencabuli kehormatan seseorang manusia serta hak asasi mereka.

"Ini berdasarkan prinsip hak asasi manusia seperti yang diperuntuk dalam Perkara 12 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang antara lain menyatakan bahawa tiada gangguan boleh dikenakan kepada hak peribadi.

"Atas dasar inilah golongan itu sering kali mempersoal penguatkuasaan undang-undang moral," katanya.

Beliau turut merujuk beberapa kes berkaitan yang heboh diperkatakan sedikit masa dulu, antaranya tangkapan tiga wanita Islam yang menyertai Pertandingan Ratu Cantik di Petaling Jaya, Selangor pada 1987 kerana melanggar fatwa negeri Selangor "haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan Ratu Cantik."

Contoh yang dirujuk beliau ialah operasi penguatkuasa agama di sebuah kelab malam dengan tangkapan kira-kira 100 orang Islam pada 2005 serta bantahan terhadap keputusan Mahkamah Syariah Negeri Pahang menjatuhkan hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi atas kesalahan minum arak pada 2008.

GAGAL PENGUATKUASAAN

Mahamad Naser menegaskan pertikaian terhadap kes-kes yang dinyatakan menunjukkan bahawa tiada penghormatan kepada undang-undang yang dikuatkuasakan termasuk undang-undang syariah serta fatwa.

Golongan yang menimbulkan pertikaian itu, tegasnya tidak menghormati dan mengiktiraf kedudukan agama Islam sebagai agama negara.

"Selain daripada polemik penguatkuasaan undang-undang Syariah yang acap kali disensasikan oleh pihak tertentu, didapati bahawa kelemahan penguatkuasaan undang-undang menjadi antara punca kepada gejala sosial yang masih berleluasa.

"Sebagai contoh, saban hari masyarakat didedahkan melalui media massa dengan berita mengenai serbuan dan tangkapan ke atas wanita yang terlibat dengan kegiatan pelacuran, aktiviti yang tidak bermoral dan sebagainya.

"Ada kalanya tangkapan dibuat berulang kali di premis atau tempat yang sama, seolah-olah tangkapan itu langsung tidak memberi kesan kepada pemilik premis dan pihak lain yang berkaitan," jelas beliau.

ANTARA CADANGAN

Aspek pemulihan dalam hukuman dilihat semakin perlu dilaksanakan sebagai usaha menangani masalah gejala sosial dalam kalangan umat Islam.

Seperti yang diperjelaskan Mahamad Naser, objektif sesuatu hukuman perlu bertujuan, antaranya, mengelakkan pesalah daripada mengulangi kesalahan mereka dan memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

Hukuman yang dijatuhkan juga mesti memelihara maruah dan kedaulatan agama di samping memberikan hukuman yang setimpal di atas jenayah atau kesalahan yang dilakukan seseorang pesalah.

Beliau berpendapat bentuk hukuman yang dilaksanakan sekarang perlu dinilai semula bagi memastikan ia benar-benar berkesan untuk membanteras gejala sosial.

Katanya Perintah Pemulihan yang sudah dilaksanakan bagi kesalahan-kesalahan jenayah sivil dirasakan dapat memberi peluang kepada pesalah yang terlibat untuk menginsafi kesalahan mereka dan berinteraksi dengan masyarakat secara terkawal dalam menjalani kehidupan mereka dengan rasa yakin.

Menurut beliau, Jabatan Penjara Malaysia juga berpandangan bahawa penjara seharusnya dijadikan sebagai hukuman terakhir dalam menegakkan sistem keadilan jenayah.

Mahamad Naser menggariskan beberapa manfaat yang dapat diperoleh daripada pelaksanaan Perintah Pemulihan sebagai hukuman alternatif, tambahan atau gabungan kepada hukuman yang sedia ada ke atas pesalah-pesalah jenayah Syariah.

Antaranya memberi ruang kepada pesalah memperbaiki diri supaya menjadi warga yang patuh terhadap undang-undang dan hukum Syarak.

"Ketika menjalani perintah ini pesalah yang menjalani perintah pemulihan boleh diberikan bimbingan untuk membentuk akidah dan sahsiah diri yang mantap melalui program yang ditentukan Jabatan Agama dan dilaksanakan oleh pihak masjid dengan kerjasama NGO Islam tempatan.

"Program yang berbentuk kerohanian seperti menghadiri ceramah, solat jemaah dan qiamullail antara cadangan program yang diharap dapat menginsafkan diri mereka serta memantapkan iman," katanya.

Mahamad Naser berkata penglibatan anggota masyarakat seperti imam serta anggota jawatankuasa masjid dalam proses pemulihan juga dilihat dapat meningkatkan rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.

Dalam tempoh menjalani pemulihan, kata Mahamad Desa, pesalah juga boleh meneruskan kehidupan untuk bekerja bagi menyara diri serta keluarga.

"Secara psikologinya, hukuman ini dapat mengelakkan timbulnya tekanan perasaan bahawa mereka akan kehilangan pekerjaan akibat hukuman yang diterima.

"Secara tidak langsung, keluarga mereka juga tidak akan terabai di samping tidak akan merasa tertekan akibat rasa tersisih daripada masyarakat," tegasnya.

-- BERNAMA